Dasar Penerbangan Nasional digubal - TPM
KUALA LANGAT 28 April - Kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional bagi menggalakkan pembangunan serta kemajuan industri penerbangan di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penggubalan dasar tersebut difahamkan sedang dilakukan dengan turut menggariskan langkah-langkah tertentu seperti melibatkan pengukuhan sosioekonomi dan rantaian perkhidmatan industri penerbangan.
"Antaranya (langkah-langkah pengukuhan), penambahbaikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada dan beberapa lapangan terbang yang akan dinaik taraf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Pesawat Boeing 737-400 milik Malaysia Airlines (MAS) kepada Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Penyerahan pesawat menerusi memorandum persefahaman (MoU) tersebut disempurnakan oleh Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Yusof kepada Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menjelaskan, industri penerbangan secara global mengalami pertumbuhan pesat di rantau Asia Pasifik iaitu mencecah 50 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan dijangka terus meningkat sehingga 200 peratus, 20 tahun lagi.
Keadaan itu katanya, perlu dilihat dan diambil kira dari segi persediaan prasarana seperti lapangan terbang serta sumber tenaga pakar yang mampu menyokong pertumbuhan industri berkenaan.
"Dengan peningkatan pesat industri penerbangan ini, Malaysia berpotensi menjadi hab penerbangan di rantau ini.
"Industri ini dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat.
"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh sama pada 2012," jelasnya.
Tambah Muhyiddin, selaras dengan perkembangan industri penerbangan, penyediaan modal insan dalam bidang berkenaan adalah penting bagi memastikan negara turut serta bersaing dalam bidang berkenaan menerusi pembangunan modal insan.
Beliau berkata, pada 2015, negara dijangka memerlukan tenaga mahir dalam bidang penyelenggaraan pesawat melebihi 10,000 orang.
"Program Diploma Penyenggaraan Pesawat yang telah dilaksanakan politeknik sejak 2006 merupakan langkah positif kerajaan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam bidang ini.
Comments