mangga add

Wednesday, April 30, 2014

GE bekal enjin pesawat AirAsia RM4.8b


Najib Tun Razak bersama Barack Obama menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perdagangan antara AirAsia X yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad, Tony Fernandez (duduk, kiri) dengan GE yang diwakili oleh John G Rice (duduk, kanan) di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 28 April - Syarikat gergasi Amerika Syarikat, General Electric Co. akan membekalkan enjin untuk 25 pesawat Airbus 330-300 yang baharu dibeli AirAsia X Berhad, dalam urus niaga bernilai lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).

Urus niaga ini adalah yang terbesar daripada tiga perjanjian komersial disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada hari terakhir lawatan rasminya ke negara ini, di sini hari ini.

Dua lagi adalah pembelian 30 peratus ekuiti oleh Kumpulan Sime Darby dalam syarikat bioteknologi, Verdezyne yang berpejabat di San Diego, sebanyak AS$30 juta (RM96 juta), dan pembelian 51 peratus ekuiti oleh MetLife ke dalam AmLife iaitu sayap insurans Kumpuan AmBank, bernilai AS$250 juta (RM800 juta).

Pada majlis itu, GE diwakili Naib Pengerusi dan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pertumbuhan dan Operasi Globalnya, John G. Rice dan AirAsia oleh CEO Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Menerusi urus niaga tersebut, GE akan membekalkan enjin-enjin pesawat dan menyediakan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk 25 pesawat A330 milik AirAsia X, dengan opsyen untuk meliputi tambahan tiga lagi pesawat. Enjin tersebut akan diliputi dalam rumusan perjanjian servis pelbagai tahun OnPoint.

Rumusan OpPoint adalah perjanjian servis yang disusun mengikut kehendak pelanggan berdasarkan keperluan operasi dan kewangan mereka, yang berperanan membantu mengurangkan kos pemilikan aset dan memaksimumkannya.

Menurut Fernandes, GE dipilih berdasarkan kepakaran teknikal dan prestasi kecekapan bahan api serta kos berdaya saing yang akan memastikan AirAsia X mengekalkan kelebihan daya saing sebagai pengendali penerbangan tambang paling murah di dunia.

"Dengan tempahan ini, GE menjadi pembekal enjin utama kedua kepada AirAsia X. Saiz kami sudah mencapai skala memadai untuk menyokong dua jenis enjin, dengan enjin gantian yang mencukupi, jurutera dan juruteknik khusus dan komitmen teguh servis daripada kedua-dua pembekal.

"Rekod dan hubungan panjang GE dengan AirAsia memberikan kami keyakinan untuk memilih mereka,'' katanya.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Global bagi GE Aviation, Kevin McAllister berkata, pihaknya berbangga dipilih AirAsia untuk memasang enjin pesawat A330 AirAsia yang dianggap sebagai tempahan besar dan penting kepada GE.

Menurut kenyataan Jabatan Perdagangan AS, urus niaga itu membantu menyokong 25,000 pekerjaan berkaitan enjin GE di Cincinnati, Ohio; Durham, North Carolina; Rutland, Vermont; dan kota-kota lain di negara itu selain 150 pembekal di 34 negeri di AS.

Menggunakan metodologi Jabatan Perdagangan AS, GE menganggarkan sebanyak 3,695 pekerjaan dapat disokong menerusi urus niaga dengan AirAsia tersebut

No comments: