Juruterbang parah pesawat ringan terhempas
KOTA BHARU 28 April - Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II milik sebuah pusat latihan penerbangan, Asia Pacific Flight Training (APFT) terhempas di kawasan perumahan Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Pesawat yang dipandu juruterbang pelatih, M. Shankar, 20, sebelum itu dilihat terbang rendah dan berpusing-pusing di ruang udara sebanyak dua kali, sebelum terhempas di tanah lapang berhampiran kawasan perumahan itu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Lokasi itu terletak berhampiran sebuah padang golf dan kira-kira 500 meter dari landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Shankar yang patah penyambung buku lali kaki kanan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan telah sedar serta stabil.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd. Nurizwan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.47 tengah hari.
Kata beliau, sebuah jentera dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian.
"Ketika sampai, mangsa yang tersepit sedang cuba diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum pihak kami mengambil alih untuk menyelamat dan mengeluarkannya.
"Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Nurizwan memberitahu, anggotanya turut mengambil langkah keselamatan dengan mengeluarkan kesemua minyak dalam tangki pesawat tersebut bagi mengelakkan berlaku kebakaran ataupun letupan.
Sementara itu, Pengetua APFT, Kapten Mohd. Shahrin Abu Hassan ketika dihubungi hari ini
mengesahkan pesawat milik pusat latihan tersebut mengalami masalah sebelum terhempas.
Kata beliau, Shankar yang mengendalikan pesawat terbabit telah memperoleh lesen dan mempunyai kelayakan untuk menerbangkan kapal itu secara sendirian.
"Punca nahas tersebut masih belum dapat dikenal pasti tetapi pada masa sama, saya dimaklumkan bahawa pihak LTSIP tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.
"Dia yang sedang menjalani latihan baru beberapa minit berlepas dari lapangan terbang itu dan membuat keputusan untuk melakukan pendaratan kecemasan berkemungkinan disebabkan tidak sempat berpatah balik," katanya.
Comments