Penduduk cemas pesawat hampir langgar bumbung rumah


KOTA BHARU 28 April - Pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II yang terhempas di kawasan tanah lapang berhampiran Taman Kurnia Jaya di sini, dikatakan terbang rendah dan hampir melanggar bumbung beberapa buah rumah penduduk di kawasan terbabit.

Seorang penduduk, Mohd. Zairi Ismail, 43, berkata, dia sedang membaiki mesin basuh di luar rumahnya apabila terdengar bunyi enjin pesawat tersebut yang terbang terlalu rendah sebelum terhempas kira-kira 50 meter dari rumahnya.

"Pada mulanya saya dengar bunyi bising seolah-olah sebuah helikopter terbang rendah. Apabila keluar dari rumah, saya melihat sebuah pesawat hampir melanggar bumbung rumah saya.

"Pesawat terbabit kemudian berlegar-legar di taman perumahan ini sebanyak dua kali sebelum terhempas dalam keadaan menjunam dan sedikit terseret pada kawasan tanah lapang di hadapan rumah saya," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Mohd. Zairi berkata, juruterbang terbabit terus meminta minuman kerana berasa panas.

"Tetapi saya tidak memberi air kerana bimbang sesuatu lebih teruk akan terjadi," katanya.
Kakak Mohd. Zairi, Safina, 50, memberitahu, pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman sebaik sahaja pesawat itu terhempas, merupakan kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori.

"Apabila saya keluar daripada rumah untuk memastikan bunyi dentuman tersebut, saya melihat dia (juruterbang) melambai tangan dan orang kampung mula mengerumuni mangsa.
"Melihatkan muka dia yang berlumuran darah, saya berlari balik ke rumah untuk mengambil kain lampin untuk mengelap muka juruterbang itu," katanya.

Comments

Popular Posts