MAS lancar laman sesawang baru

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) menyasarkan sumbangan perolehan dari laman sesawangnya tumbuh sebanyak 70 peratus kepada RM2 bilion pada tahun ini.

Pada masa ini, perolehan yang disumbang oleh laman sesawangnya melebihi RM1 bilion.

Naib Presiden Eksekutif Strategi Komersial MAS, Dr. Amin Khan berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan beberapa pembaharuan yang telah dilakukan bagi laman sesawang dan juga pengenalan produk-produk barunya.

''Tempahan dalam talian mempunyai potensi apabila menunjukkan pertumbuhan yang pantas terutamanya di rantau ASEAN dan di peringkat domestik.

''Antara langkah yang diambil MAS termasuklah melancarkan laman sesawangmalaysiaairlines.com diperbaharui dan ia lebih mudah,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan laman sesawangmalaysiaairlines.com yang direka bentuk semula di Stesen KL Sentral, di sini hari ini.

Tambah Amin, dengan penambahbaikan laman web yang dilakukan, MAS berharap nisbah pertukaran transaksi menggunakan laman webnya telah meningkat sebanyak 20 peratus.

''MAS telah memperuntukkan sekitar RM1 juta bagi menaik taraf laman web kami dan ia merupakan sebahagian daripada pelan 10 tahun yang melibatkan RM400 juta.

''Pada minggu ini juga kami akan melancarkan produk baru yang berkaitan dengan laman web,'' jelasnya.

Terdahulu MAS melancarkan laman web yang telah direka semula dan dinaik taraf serta mudah.

Pengguna boleh melayari harga tiket promosi, menempah penerbangan serta mendapatkan maklumat mengenai pelancongan menerusi laman web itu.

Amin berkata, reka bentuk terbaru ini memberikan pengalaman navigasi lebih baik dan menyediakan maklumat perjalanan bernilai termasuk pakej percutian, hotel, sewaan kereta dan banyak lagi.

MAS turut melancarkan harga promosi untuk Malaysia Airlines Travel Fair (MATF) bermula hari ini sehingga 28 Februari ini.

Comments

Popular Posts