Pesawat B747 boleh lebih panjang - Sutter

Ketua jurutera Boeing Joe Sutter yang dikenali 'Bapa Pesawat Boeing' 747' pada majlis pelancaran pesawat jet jumbo penumpang yang baharu 747-8 di Everett, Washington, Ahad lalu. Pesawat yang dilancarkan untuk mengembalikan kegemilangan pesawat itu selepas 40 tahun dan meningkatkan lagi jualan, mampu membawa 467 penumpang, 51 orang lebih ramai berbanding pesawat sedia ada dan menjimatkan bahan api serta menawarkan keselesaan. - Reuters

EVERETT (Washington), 14 Feb. - Tidak lama selepas Boeing melancarkan jet penumpang terbesarnya, 747-8 Intercontinental, jurutera aeronautikal legendanya, Joe Sutter berkata, pesawat itu boleh dipanjangkan lagi.

"Ya. Mudah. Mudah," kata Sutter, 89, semasa ditanya sama ada pesawat itu boleh dipanjangkan lagi.

Sutter yang dianggap sebagai "bapa" kepada pesawat 747, menyertai Boeing pada 1946 sebagai pakar aerodinamik dan bekerja untuk Boeing 377, Dash- 80, 707, 727 dan 737.

Pada 1965, beliau mengambil peranan sebagai ketua jurutera projek bagi program baharu 747, yang menjadi perintis kepada konsep pesawat badan lebar dua laluan.

Beliau turut menyumbang kepada pembangunan pesawat Boeing yang lain.

Versi terkini jet jumbo 747 berkenaan boleh memenuhi pasaran 400 hingga 500 tempat duduk.

Bercakap mengenai 747-8 Intercontinental, beliau berkata, pesawat itu merupakan jentera yang hebat dan menambah yang beliau suka pesawat itu kerana kurang menggunakan bahan api.

"Penumpang akan menyukainya dan ia akan menjadi pengangkut yang hebat," katanya kepada wartawan pada majlis yang diadakan di kilang pemasangan Boeing di sini pada Ahad, kilang yang sama yang mengeluarkan versi pertama pesawat itu lebih empat dekad yang lalu.

Semasa ditanya bagaimana perasaan beliau berada pada majlis itu, Sutter berkata: "Saya rasa hebat. Satu hari yang hebat bagi Boeing." Kira-kira 10,000 tetamu, termasuk pelanggan, kakitangan Boeing, kakitangan kerajaan, rakan kongsi dan pembekal, menyaksikan pelancaran Intercontinental itu.

Sutter masih menyumbang kepakaran kejuruteraannya kepada Boeing. Beliau berkhidmat dengan kumpulan penasihat kanan syarikat, panel bekas eksekutif syarikat yang memberi pandangan dan garis panduan kepada ketua-ketua semasa Boeing Commercial Airplanes mengenai pembangunan dan strategi produk. - Bernama

Comments

Popular Posts