Pesawat TUDM dibenar mendarat di Tripoli
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli, Libya malam ini bagi membawa pulang 190 rakyat Malaysia di negara itu.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pesawat tersebut yang kini berada di Rome, Itali akan berlepas pada pukul 3 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Tripoli pada pukul 5.30 petang waktu tempatan (12 malam waktu Malaysia).
Pesawat itu akan membuat satu perjalanan sahaja untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya ke Rome, Itali, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, rakyat Malaysia berkenaan akan dibawa pulang ke negara ini dari Itali.
Katanya, kerajaan tidak akan menggunakan pesawat sewa khas dari Eropah untuk memindahkan 190 rakyat Malaysia seperti diumumkan sebelum ini.
Rancangan untuk menyewa pesawat khas dari Eropah itu dibuat kerana sebelum ini kerajaan Libya tidak membenarkan pesawat tentera negara asing memasuki ruang udara negara itu, katanya.
Keadaan Libya bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan. - Bernama
Comments