AirAsia X tempah 3 lagi pesawat

KUALA LUMPUR 28 Feb. - AirAsia X yang menyasarkan penyenaraian saham secara berganda termasuk di Bursa Saham New York, telah menempah tiga buah lagi pesawat Airbus 330-200 pada harga RM1.5 bilion untuk mengukuhkan penguasaan pasarannya di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani menyifatkan pelaburan itu amat signifikan dan selari dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) ke arah meningkatkan penerbangan terus ke pasaran-pasaran penting dalam menjadikan Malaysia destinasi pelancongan menjelang 2020.

Beliau berkata, dengan kontrak terbaharu itu, AirAsia X telah menempah sejumlah 28 pesawat A330 dan dua daripadanya akan di terima pada tahun depan.

Pembiayaan pembeliannya akan dilakukan menggunakan pelbagai kemudahan penyelesaian hutang, katanya.

''Pesawat A330 adalah pesawat paling efisien dalam kelasnya pada masa kini. Kos operasinya rendah dan keupayaan terbang jauh, terus-menerus dari Kuala Lumpur ke Eropah.

''Kami akan menambah kekerapan laluan bagi penerbangan di London dan Paris serta destinasi baharu yang lain pada masa depan,'' katanya selepas majlis memeterai perjanjian pembelian tiga pesawat itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, AirAsia X diwakili Pengerusinya, Datuk Kamarudin Meranun dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Airbus, Dr. Kiran Rao sambil disaksikan oleh Ahli Majlis Ekonomi Negara, Datuk Seri Chua Soi Lek. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes.

Mengulas hasratnya untuk mengapungkan saham syarikat, Azran berkata, segalanya berjalan mengikut jadual.

Bagaimanapun, Fernandes secara berseloroh pula menambah, AirAsia X masih perlu mendapatkan kelulusan kerajaan bagi peluasan operasinya.

''Sebelum mengapungkan sahamnya adalah penting AirAsia melihat dahulu peruntukan polisi laluan dan ia akan dikenalpasti lebih awal,

''Peluasan AirAsia X tidak dapat dielakkan, tetapi untuk mendapat wang bagi membeli 20 buah pesawat adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan,'' katanya.

Azran ketika mengulas peluasan operasi menyatakan rasa optimisnya untuk memperoleh laluan Sydney sekiranya sasaran ETP diambilkira.

Fernandes menambah, selain destinasi itu, AirAsia X juga mahu mengembangkan destinasinya ke Jeddah, Shanghai dan Beijing.

Beliau berkata, AirAsia akan meningkatkan jumlah destinasinya kerana jika gagal berbuat demikian, Singapura dan Thailand akan mengatasinya.

Fernandes berkata, selain New York, AirAsia X turut merancang menyenaraikan sahamnya di Kuala Lumpur dan Hong Kong.

Azran dalam sidang akhbar berkata, AirAsia X menyasarkan untuk meningkatkan pendapatannya kepada RM2 bilion pada tahun ini berbanding RM1.3 pada tahun lalu.

Unjuran itu merupakan kenaikan antara 50 hingga 60 peratus pada 2011 dan ia telah mengambil kira aliran enaikan minyak global.

Pada tahun ini, AirAsia X menyasarkan sebanyak 2.7 juta penumpang berbanding 1.92 juta pada 2010.

Comments