AirAsiaX lancar jualan tiket besar-besaran

SEPANG 1 Mac - AirAsia X mulai hari ini memulakan jualan tiket secara besar-besarannya selama enam hari bagi semua destinasi jarak jauhnya kecuali Tehran dan Tokyo.

Antara destinasinya ialah London (Stansted), Taiwan (Taipei), China (Tianjin, Hangzhou dan Chengdu), Australia (Gold Coast, Melbourne, Perth) India (Mumbai, Delhi), Korea (Seoul), New Zealand (Christchurch) dan Perancis.

Semua jualan itu membabitkan penerbangan pada 13 September ini sehingga 29 Februari 2012 dan berdasarkan siapa cepat, dia dapat secara eksklusif melalui laman sesawang www.airasia.com.

AirAsia berkata, bagi 'Laluan Kangaru' seperti Gold Coast, Perth dan Melbourne, harga tiket yang ditawarkan adalah serendah RM199 manakala ke London dan Paris pula RM529.

Tiket ke China pula ditawarkan daripada harga RM149 untuk ke Chendu dan RM199 ke Tianjin dan Hangzhou serta Taiwan dan India.

Bagi penerbangan ke Korea dan Chritshurch, kadar yang ditawarkan adalah RM249.

''AirAsia X turut menawarkan kadar paling rendah iaitu RM729 untuk tempat duduk premium ke semua destinasi sepanjang kempen ini,'' katanya.

Untuk destinasi-destinasi terpilih antara rangkaian AirAsia X, para penumpang juga ditawarkan harga jualan besar-besaran melalui perkhidmatan Fly Thru. Maklumat lanjut boleh layari www.airasia.com.

Kadar tambang itu adalah bagi penerbangan sehala dan termasuk cukai lapangan terbang, kata AirAsia.

Comments