Latihan rampasan pesawat MAS gemparkan KKIA

KOTA KINABALU 19 Mac - Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini malam tadi gempar seketika apabila berlaku latihan 'Ex-Rampas KK' membabitkan lima orang pengganas ditangkap sepasukan anggota polis kerana 'merampas' sebuah pesawat yang tiba di lapangan terbang itu.
Latihan itu turut disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail.
Ia merupakan salah satu daripada langkah siap siaga pihak berkuasa dalam menghadapi krisis rampasan kapal terbang di negara ini.
Lima pengganas itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di Terminal 1 KKIA, sebaik sahaja tiba di lapangan terbang itu menaiki pesawat MAS, MH 8989 Boeing 737 dari Kepulauan Pasifik menuju ke Kuala Lumpur.
Hasil perancangan rapi daripada semua pihak dan tindakan pantas UTK, kesemua pengganas itu berjaya ditahan.
Hishammuddin ketika mengulas mengenai latihan itu berkata, latihan malam ini merupakan sebahagian kecil daripada kemampuan pihak PDRM untuk menangani masalah keselamatan di negara ini.
Katanya, PDRM sentiasa mempunyai kepakaran tersendiri dalam membanteras kegiatan jenayah dan memastikan negara berada dalam keadaan aman.

Comments

Popular Posts