Rafidah bakal bantu jayakan syarikat

KUALA LUMPUR 28 Feb. - AirAsia X menyifatkan pelantikan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusinya sesuatu yang baik kerana pengalaman dan kepakaran yang dimiliki membolehkan syarikat berkenaan 'terbang lebih tinggi'.

Pengerusi AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pengalaman luas Rafidah ketika bersama kerajaan boleh membantu anak syarikat AirAsia itu mengurus operasinya.

Kamarudin berkata: ''Ini bukan bermakna kerajaan tidak menyokong AirAsia selama ini tetapi pengalaman Rafidah akan membantu kami menjadi peneraju sebagai syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh.

''Lagipun sejak lapan tahun beroperasi, saya dan Datuk Seri Tony Fernandes telah berhadapan dengan banyak tugas.

''Kami berdua bukan sahaja memantau tugas-tugas operasi, seranta tetapi juga menjalankan peranan dalam perhubungan awam,'' kata beliau ketika mengulas tentang pelantikan Rafidah.

Kamarudin berkata, AirAsia X bakal berkembang dan cabaran pada masa depan adalah lebih getir, sehubungan itu, individu yang berdedikasi secara sepenuh masa diperlukan dalam hal-hal berkaitan pesawat dan laluan.

Rafidah, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, akan menggantikan Kamarudin, yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.

Comments

Popular Posts