Firefly ke Surabaya, Bandung Ogos ini

JOHOR BAHRU 9 Mei - Bagi merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini, syarikat penerbangan komuniti, FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) menawarkan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Indonesia pada Ogos ini.

Pengurus Jualan Firefly Johor, Khairul Anuar Daud berkata, penerbangan terus membabitkan laluan Johor Bahru-Surabaya dan Johor Bahru-Bandung, masing-masing akan bermula pada 12 dan 16 Ogos ini.

Katanya, Firefly yang merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines (MAS) akan terbang ke destinasi itu sebanyak tiga kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737-400 yang mampu memuatkan seramai 162 penumpang.

"Selain itu, penerbangan terus dari negeri ini ke Bangkok, Thailand dijangka bermula Disember ini," katanya semasa ditemui pada Pameran Pelancongan Johor 2011 di sini.

Selain itu, mulai 19 Mei ini, terdapat dua penerbangan sehari dari Johor Bahru ke Kuching, manakala dua penerbangan sehari dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu dijangka bermula pada 16 Jun ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Dr. Sa'ari Md. Nooh berkata, syarikat penerbangan dari China, China Airways bakal menawarkan penerbangan terus dari negeri ini tidak lama lagi.

"China Airways yang berpusat di Guangzhou kini mengadakan perbincangan dengan Jabatan Penerbangan Awam untuk membolehkan mereka memulakan operasi," tambah beliau.

Comments

Popular Posts