Kotak hitam Merpati ditemui

JAKARTA 9 Mei - Indonesia berjaya menemui kotak hitam pesawat Merpati Nusantara, yang terhempas di laut pada minggu lalu yang menyebabkan 25 penumpang serta anak kapalnya terkorban.

Pengerusi Jawatakuasa Keselamatan Pengangkutan, Tatang Kurniadi berkata, kotak hitam itu ditemui semalam dan mereka kini berusaha mendapatkan perakam suara kokpit (CVR) dari dalam laut.

Pesawat jenis MA-60 milik Merpati Nusantara itu, satu daripada syarikat penerbangan Indonesia yang dilarang beroperasi ke Eropah, terhempas di laut ketika cuba mendarat semasa hujan lebat pada Sabtu lalu.

Insiden itu berlaku ketika pesawat penumpang itu dalam penerbangan dari Sorong ketika mahu mendarat di Lapangan Terbang Kaimana di wilayah Papua Barat. - afp

Data dari kotak hitam itu akan dihantar ke makmal di China bagi mendapat gambaran bagaimana pesawat itu boleh terhempas.

"Kami kini memberi tumpuan kepada pengurusan mayat mangsa sebelum ia dihantar kepada ahli keluarga masing-masing.

"Buat masa ini sebanyak 22 mayat termasuk dua bayi telah ditemui," kata Jurucakap Merpati, Imam Turihi.

Beliau turut menurunkan jumlah korban daripada 27 orang dalam laporan awal kepada 25 orang dan mengesahkan tidak ada warga asing yang terkorban. - AFP

Comments