Penumpang Airasia X meningkat

Azran Osman

KUALA LUMPUR 4 Mei – AirAsia X, syarikat sekutu tambang murah penerbangan jarak jauh AirAsia Bhd., telah menerbangkan 0.64 juta penumpang pada suku pertama tahun ini.

Ini merupakan peningkatan 56.5 peratus berbanding suku yang sama 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia X menambah enam laluan baharu semasa suku tahun itu iaitu Mumbai, Delhi, Tehran, Seoul, Tokyo dan Paris.

Bilangan pesawatnya juga telah meningkat daripada lapan kepada 11. Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan sembilan pesawat Airbus, A330 dan dua A340.

Dari segi trafik penumpang, AirAsia X berkembang 59.8 peratus kepada 3.6 bilion Perolehan Penumpang Kilometer (RPK) bagi suku pertama, yang menjadikannya syarikat penerbangan tambang murah kedua terbesar di Asia Tenggara, selepas AirAsia Malaysia.

Kapasitinya berkembang 48 peratus kepada 4.5 bilion Tempat Duduk Kilometer Tersedia (ASK), yang mencatatkan faktor muatan 81 peratus, iaitu satu kenaikan enam mata peratusan berbanding dengan suku yang sama tahun lepas.

Kesemua laluan yang dikendalikan AirAsia X bagi tempoh lebih setahun telah memberikan hasil yang positif di segi faktor muatan.

Ia mencatatkan peningkatan lebih tinggi dari operasi kargonya, yang membawa 8,324 tan fret, yang meningkat 182.2 peratus berbanding setahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani berkata, lonjakan pertumbuhan pantas yang berterusan adalah bukti kepada kejayaan model jarak jauh.

Lembaga Pengarah semasa AirAsia X Sdn. Bhd. terdiri daripada lapan wakil pengarah yang mewakili para pemegang saham syarikat itu, iaitu AeroVentures Sdn Bhd (52 peratus), AirAsia Bhd (16 peratus), Corvina Holdings (10 peratus), Orix Corp (11 peratus) dan Manara Malaysia Ltd (11 peratus). – BERNAMA

Comments