22 penumpang pesawat Twin Otter ditemui maut

KATHMANDU 16 Dis. - Kesemua 22 orang penumpang dan anak kapal sebuah pesawat Twin Otter yang hilang semalam disahkan terbunuh, setelah pesawat kecil itu ditemui terhempas di kawasan pergunungan di timur Nepal.

Pesawat itu membawa tiga anak kapal serta 19 penumpang, termasuk seorang warga Amerika Syarikat berkecai setelah terhempas di sebuah pergunungan sebaik-baik berlepas dari satu lapangan terbang kecil, 140 kilometer dari Kathmandu tengah hari, semalam.

"Kami telah menemui 20 mayat dan usaha mencari dua mangsa lagi masih diteruskan, namun kami percaya tidak ada yang terselamat," kata jurucakap polis, Bigyam Raj Sharma kepada AFP.

"Bangkai pesawat itu berada lebih 200 meter ke tengah hutan tebal," katanya.

Setakat ini, belum diketahui punca pesawat Tara Air itu terhempas.

Sharma berkata, mayat-mayat mangsa akan dibawa keluar menggunakan helikopter ke Kathmandu, hari ini.

Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kathmandu mengesahkan bahawa salah seorang daripada mangsa nahas itu adalah rakyatnya.

Media melaporkan penumpang yang terdiri daripada warga tempatan itu mungkin daripada kalangan etnik Bhuthan yang menggunakan penerbangan tambang murah itu untuk kunjungan keagamaan. - AFP

Comments