Penerbangan MAS ke London kembali pulih
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Penerbangan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dari Kuala Lumpur ke London dan sebaliknya, kembali pulih selepas terjejas semalam ekoran penutupan Lapangan Terbang Heathrow, akibat salji tebal.
Lapangan Terbang Heathrow dibuka semula pada pukul 6 pagi (waktu London) tetapi penerbangan keluar dan masuk adalah terhad dengan hanya satu sahaja landasan beroperasi.
Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman dalam satu kenyataan memberitahu, dengan pembukaan semula Lapangan Terbang Heathrow itu MAS menjangkakan berlaku kesesakan di lapangan terbang tersebut.
Katanya, walaupun begitu MAS telah menjadual semula semua penerbangan keluar dari lapangan tersebut dan ia bergantung kepada kelulusan pihak pengurusan lapangan terbang.
Semua penerbangan MAS dari London ke Kuala Lumpur kini mengikut jadual dan akan berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow mengikut jadual baru yang ditetapkan.
Semakan ke atas laman web MAS di www.malaysiaairlines.com mendapati penerbangan MAS yang dijadualkan dari London adalah MH0003D yang akan berlepas pada pukul 1 tengah hari (waktu London).
Penerbangan MH0003A pula akan berlepas pada pukul 2 petang, MH0001D (6 petang), MH0001 (8 malam) dan MH0001 akan berlepas pada pukul 11.30 malam.
Penerbangan MH4 dari Kuala Lumpur ke London yang terpaksa dilencongkan ke Frankfurt, Jerman dijadualkan ke London pada pukul 2 petang (waktu Frankfurt).
Sementara penerbangan MH2 pula yang dilencongkan ke Istanbul, Turki akan berlepas ke London pada pukul 9 pagi (waktu Istanbul).
Penerbangan MAS dari Kuala lumpur ke London pula mengikut jadual hari ini dengan Penerbangan MH0004 telah berlepas pada pukul 10.45 pagi ini manakala MH0004S pula berlepas pada pukul 4 petang.
Penerbangan MH0002 pula dijadualkan semula dan akan terbang ke London esok pada pukul 9 pagi.
Penumpang dinasihatkan sentiasa memeriksa status penerbangan masing-masing menerusi laman web www.malaysiaairlines.com atau hubungi MAS 1300-88-3000 (Malaysia) atau +603-7843 3000 (luar Malaysia).
Comments