Tiada cadangan beli Virgin Atlantic -AirAsia

KUALA LUMPUR 27 Dis. - AirAsia Bhd. (AirAsia) tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membida Virgin Atlantic, kata seorang pegawai tinggi syarikat penerbangan tambang murah itu.

''Saya tidak tahu menahu berkaitan perancangan itu,'' kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun di sini hari ini ketika mengulas laporan akhbar Sunday Times.

Akhbar United Kingdom (UK) itu, yang tidak menyatakan sumbernya, berkata AirAsia sedang menimbang untuk membida syarikat penerbangan UK yang dikuasai oleh ahli perniagaan terkemuka dunia, Richard Branson.

Dalam perkembangan yang sama, akhbar Inggeris di sini hari ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia telah menafikan dakwaan pembelian pegangan itu.

''Tiada sebarang perbincangan yang dilakukan.

''Saya tidak pasti, bagaimana spekulasi itu boleh timbul,'' katanya.

Singapore Airlines (SIA), yang memiliki 40 peratus pegangan dalam Virgin Atlantic dalam kenyataannya di sini berkata, mereka tidak mempunyai sebarang perancangan terdekat untuk melupuskan pegangan SIA dalam Virgin Atlantic.

''Kami memantau pelaburan SIA dengan kerap dan kekal terbuka dalam menimbangkan sebarang peluang menarik,'' tambahnya. -DowJones.

Comments