Roket Soyuz Rusia selamat berlepas

Dari bawah, angkasawan Soyuz, Dmitry Kondratyev, Cady Coleman dan Paolo Nespoli melambai tangan sebelum roket Soyuz TMA-20 berlepas dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan, semalam. - AP

BAIKONUR 16 Dis. - Sebuah roket Soyuz Rusia membawa tiga angkasawan berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan, malam tadi mengikut jadual.

Roket Soyuz TMA-20 yang membawa krew dari Rusia, Itali dan Amerika Syarikat (AS) itu dilancarkan pada pukul 10.09 malam waktu Moscow (3.09 pagi ini waktu Malaysia).

Pesawat Soyuz itu dijadual berlabuh di ISS esok pada pukul 11.12 malam waktu Moscow (4.12 pagi Sabtu waktu Malaysia), menurut Pusat Kawalan Misi Rusia.

Komander Soyuz itu ialah angkasawan Rusia, Dmitry Kondratyev yang melakukan penerbangan sulungnya ke angkasa lepas.

Mengiringi beliau ialah Paolo Nespoli daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) yang melakukan penerbangan keduanya ke angkasa lepas dan angkasawan NASA, Catherine Coleman yang pernah menyertai dua misi angkasa lepas sebelum ini.

Kondratyev yang terpaksa menunggu selama 13 tahun untuk melakukan penerbangan pertamanya berjanji, krew beliau akan melakukan apa sahaja untuk menepati rancangan sepanjang lima bulan berada di ISS.

Tiga krew itu akan menyertai angkasawan NASA, Scott Kelly dan rakan-rakannya dari Rusia, Alexander Kaleri dan Oleg Skripochka di dalam ISS.

Beban program angkasa lepas Rusia dijangka bertambah dalam beberapa bulan akan datang apabila NASA menamatkan perkhidmatan kapal angkasanya, bermakna pesawat Soyuz akan menjadi satu-satunya kenderaan untuk membawa manusia ke ISS bagi tempoh beberapa tahun akan datang. - AFP

Comments

Popular Posts