mangga add

Friday, February 8, 2013

Saksi nampak pesawat terhuyung-hayang, langgar pokok


MELAKA 7 Feb. - Beberapa orang saksi mendakwa mereka ternampak pesawat ringan jenis Piper PA 28 milik Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) dalam keadaan terhuyung-hayang dan senget sebelum terhempas di tebing Kondominium Cheng Heights di Lebuh AMJ hari ini.

Menurut mereka, pesawat itu kelihatan tidak stabil dari arah Alor Gajah dan merempuh beberapa batang pokok sebelum terhenti di bucu tebing simpang masuk ke kondominium itu.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah Lebuh AMJ berhampiran lampu isyarat persimpangan Pulau Gadong berikutan orang ramai memperlahankan kenderaan dan berhenti di bahu jalan.
Seorang anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Koperal Zameri Nawi, 50, yang bertugas di pondok polis berhadapan kondominium itu berkata, ketika kejadian, pesawat telah melanggar beberapa pokok menyebabkan dahan-dahan yang patah terpelanting ke tengah jalan.

"Saya lihat pesawat itu dalam keadaan terhuyung-hayang dan melantun-lantun sebelum melanggar pokok dan terhempas.
"Saya risau juga jika pesawat itu jatuh ke jalan raya memandangkan berhampiran dengan lampu isyarat," katanya.

Seorang lagi saksi, Suaida Ninglan, 40, berkata, ketika kejadian, dia yang bertugas sebagai tukang cuci di bangunan itu sedang berehat di taman berhampiran.
"Sayap pesawat kelihatan senget sebelah sebelum terhempas. Juruterbang itu kemudian keluar sendiri ke tepi tebing sebelum dibantu dua orang awam," katanya.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans.


No comments: