Syarikat penerbangan perlu rendahkan harga tiket



KUALA LUMPUR 20 Feb. - Syarikat penerbangan yang menyediakan laluan antara Kuala Lumpur-Singapura kini berhadapan cabaran bagi menstruktur kos dan harga tiket masing-masing, sebelum siapnya perkhidmatan kereta api laju (HSRL) pada tahun 2020 yang menawarkan laluan yang sama.

Menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), walaupun tempoh penerbangan hanya memakan masa selama 45 minit, berbanding HSRL yang mengambil masa selama 90 minit dan jangkaan itu masih belum melibatkan masa dan kos untuk ke lapangan terbang, pendaftaran masuk dan pelepasan.
Bagaimanapun HLIB Research berpendapat, HSRL tidak akan menjejaskan industri penerbangan dalam masa terdekat memandangkan perkhidmatan itu masih di peringkat awal dan hanya mula beroperasi pada tahun 2020.

"Mereka (industri penerbangan) tetap berhadapan risiko seperti ketidakstabilan harga bahan api serta perkara lain yang mengurangkan penggunaan perkhidmatan penerbangan," menurut nota penyelidikan itu.
Selain itu, HSRL merupakan sebahagian daripada rancangan menghubungkan negara-negara ASEAN sehingga ke Kunming, China bagi meningkatkan integrasi ekonomi serantau.

HLIB Research menjangkakan akan berlakunya peperangan harga kelak, lebih-lebih lagi beberapa syarikat penerbangan tempatan mempunyai kekerapan penerbangan yang tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Ketika ini AirAsia menawarkan 84 penerbangan seminggu, Firefly (45 seminggu) dan MAS (47 seminggu).
"MAS dijangka berhadapan cabaran paling tinggi disebabkan struktur kos mereka yang lebih tinggi. Selain itu, HSRL mungkin menyediakan kelas tempat duduk premium yang sekali gus merupakan saingan kepada MAS," menurut nota penyelidikan itu.
Nota penyelidikan itu turut menjangkakan kos pembinaan HSRL bernilai antara RM7.5 bilion hingga RM10.5 bilion.


Comments