Pesawat ringan terhempas



PEGAWAI teknikal memeriksa pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia yang terhempas di lereng bukit berdekatan kondominium Cheng Heights di Melaka, semalam.


MELAKA 7 Feb. - Seorang pelatih juruterbang Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) yang berpangkalan di Batu Berendam nyaris maut apabila pesawat ringan jenis Piper PA-28 yang dikendalikan ketika melakukan latihan penerbangan terhempas di tebing berhampiran Kondominium Cheng Heights di Cheng di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 11.58 pagi mengakibatkan P. Davenessrao, 20, mengalami kecederaan ringan di kepala dan tengkuk dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.


Insiden berkenaan menggemparkan penduduk di kondominium tersebut yang bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana pesawat itu terhempas kira-kira 30 meter dari kediaman mereka.
Kemalangan itu mengejutkan orang ramai yang sedang berurusan di sebuah bangunan berdekatan.
Kesesakan lalu lintas turut berlaku kerana kondominium itu terletak di hadapan simpang lampu isyarat Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) di Malim.


Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shah Ghazi Khan Shahadad berkata, sebelum terhempas, pelatih juruterbang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan dan berpengalaman setahun dalam penerbangan itu sempat menghubungi menara kawalan MFA bagi memaklumkan kecemasan.
"Pasukan unit udara polis yang menaiki pesawat jenis Cessna dalam misi tugasan di negeri ini dan hampir mendarat telah diarahkan untuk membuat tinjauan dan mencari pesawat yang terhempas itu.
"Pasukan tersebut adalah yang pertama mengesan pesawat itu dan mengambil gambar sebelum diserahkan kepada menara kawalan," katanya ketika ditemui di lokasi pesawat itu terhempas.


Menurut Shah Ghazi, pesawat tersebut berhenti di tebing kondominium itu selepas melanggar beberapa batang pokok kira-kira 30 meter dari kondominium.
Katanya, polis belum menerima laporan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang dijangka menghantar pasukan penyiasat esok.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. Tahir berkata, sebanyak empat jentera dari Balai Jalan Kubu dan Tangga Batu dengan kekuatan 26 orang anggota dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 12.01 tengah hari.


"Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian pukul 12.10 tengah hari, pasukan kami berusaha menstabilkan mangsa yang kami syak mengalami patah tulang sebelum dihantar ke hospital.
"Kami turut mengesan berlaku kebocoran tangki minyak pada pesawat itu dan bertindak menyembur buih sebagai langkah berjaga-jaga jika terdapat percikan api yang boleh menyebabkan kebakaran," katanya.

Kata Yazid, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit bagi melakukan pemeriksaan ke atas pesawat dengan dibantu oleh pihak DCA sebelum memasang dua tali keselamatan berkeupayaan menampung 13,000 kilogram bagi mengelak pesawat itu jatuh dari tebing.


Comments

Popular Posts