MAS unjur keputusan lebih baik



KUALA LUMPUR 26 Feb. - Malaysia Airlines (MAS), yang sedang mengumpul dana, mengunjurkan keputusan kewangan suku pertamanya yang dijadualkan pada 31 Mac, 2013, lebih baik berbanding tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya.

"Kebiasaannya suku pertama lebih rendah disebabkan Disember merekodkan aktiviti perjalanan yang besar," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Bagi setahun penuh 2013, beliau berkata, ia masih "terlalu awal untuk menyatakannya" namun menambah, syarikat penerbangan negara itu melaksanakan semua inisiatif untuk merealisasikan keputusan yang dikehendaki.

Ahmad Jauhari berkata, suku keempat berakhir 31 Dis, 2012 mencatat keputusan yang kukuh.
"Kami merekodkan faktor muatan 77.3 peratus," kata Ahmad Jauhari dan menambah keputusan kewangan penuh akan diumumkan pada akhir bulan ini.

MAS mengangkut 3.718 juta penumpang sepanjang suku itu, dengan 1.403 juta merupakan pengguna domestik dan 2.315 juta pengguna antarabangsa.

Ia mencatat 81.4 peratus bagi Disember sahaja.

Ia turut dibantu oleh penggunaan pesawat menerusi kekerapan yang ditingkatkan ke beberapa destinasi serantau paling popular selain masa berlepas dan mendarat yang lebih cepat di lapangan terbang.
MAS mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM39.103 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2012, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM461.540 juta dalam suku yang sama setahun lepas.
Perolehan berkurangan kepada RM3.47 bilion berbanding RM3.56 bilion. - Bernama



Comments

Popular Posts