AirAsia mahu kekal nama di India



NEW DELHI 24 Feb. - AirAsia berhasrat mengekalkan jenamanya ke atas syarikat penerbangan tambang murah yang bakal diperkenalkan di India, menerusi usahasama dengan syarikat tempatan di negara tersebut.
Berdasarkan kertas cadangan yang dihantar kepada Kerajaan India, AirAsia akan menggunakan dananya sendiri bagi menyuntik modal berjumlah AS$15 juta (RM47 juta) di dalam usahasama yang bakal dijalankan bersama Tata Sons dan Telestra Tradeplace Pvt. Ltd., untuk memperkenalkan syarikat penerbangan tersebut.
Tata Sons dan Telestra Tradeplace melabur sebanyak AS$15 juta (RM47 juta).

Menurut wakil kanan Kerajaan India, AirAsia berhajat menamakan syarikat penerbangan itu sebagai AirAsia (India) Pvt. Ltd. dan sedia mengeluarkan dana tambahan jika memerlukan.

Permohonan bagi menubuhkan syarikat penerbangan itu dilakukan pada Rabu lalu, selepas AirAsia menandatangani kerjasama awal dengan dua syarikat India terbabit.

Melalui perjanjian yang dibuat, AirAsia akan menguasai 49 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan tambang murah yang akan diperkenalkan itu, manakala Tata Sons (30 peratus) dan Telestra Tradeplace (21 peratus) .

Kertas cadangan yang dihantar itu juga melibatkan permohonan bagi membolehkan AirAsia menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo, pengendalian kargo, penyewaan pesawat dan perkhidmatan berkaitan.
Pengasas AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun ini dengan menggunakan tiga atau empat pesawat jenis Airbus A320. - Dow Jones



Comments

Popular Posts