AirAsia X lancar laluan ke Busan, Korea



KUALA LUMPUR 16 April - AirAsia X akan memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea, mulai 15 Julai ini selepas memperkenalkan penerbangannya ke Seoul.

AirAsia dalam kenyataannya berkata, syarikat penerbangan itu akan terbang terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae Busan dengan menawarkan penerbangan empat kali seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani berkata, kemasukan AirAsia X ke Busan adalah selaras dengan strategi untuk menambah kekerapan penerbangan dan destinasi utama beberapa pasaran di Asia Pasifik seperti Korea.

"Kami percaya bahawa kemasukan ini akan merangsang permintaan perjalanan baharu dari bandar dan kawasan-kawasan sekitarnya," katanya.

Berikutan pelancaran laluan baru itu, AirAsia X menawarkan tambang promosi bermula daripada RM199 bagi kelas ekonomi dan RM699 bagi premium 'flatbed' untuk penerbangan satu hala antara Kuala Lumpur dan Busan.

Tiket penerbangan boleh ditempah dalam talian mulai 17 sehingga 28 April untuk perjalanan antara 15 Julai dan 30 April 2014.

Comments

Popular Posts