F-22 AS undang kemarahan
SEOUL 1 April - Tentera Amerika Syarikat (AS) menempatkan jet pejuang kalis radar F-22 di Korea Selatan sebagai sebahagian latihan ketenteraan bersama dengan negara ini yang sedang berlangsung, latihan yang mencetuskan ancaman tindak balas ketenteraan dari Korea Utara.
Dua buah jet pejuang F-22 Raptor tiba di Korea Selatan, semalam untuk menyertai latihan tahunan dikenali sebagai Foal Eagle, yang akan berakhir pada 30 April ini, menurut jurucakap pasukan tentera AS di Korea Selatan.
Jet pejuang itu dilaporkan berlepas dari pangkalan udara AS di Okinawa, Jepun.
Meskipun penggunaan F-22 dalam latihan ini bukanlah yang pertama, kehadiran jet pejuang itu sudah pasti akan meningkatkan kemarahan Pyongyang ketika ketegangan semakin memuncak di semenanjung Korea.
Korea Utara sebelum ini mengancam melancarkan serangan ke atas bumi AS dan pangkalan tentera negara itu di Pasifik sebagai tindak balas kepada penglibatan pesawat pengebom B-52 dan B-2 yang berupaya membawa bom nuklear dalam latihan tersebut.
Kelmarin, Korea Utara turut mengisytiharkan memasuki 'negara perang' dengan Korea Selatan dan memberi amaran kepada Seoul dan Washington bahawa sebarang provokasi dengan mudah akan mencetuskan perang nuklear.
Korea Selatan dan AS berdepan ancaman dari Korea Utara hampir setiap hari, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa bahawa situasi itu mungkin di luar kawalan. - AFP
Comments