Kapten James berjaya tamatkan separuh misi 1RTW



James Anthony Tan mengibarkan Jalur Gemilang sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, Amerika Syarikat, semalam bagi menjayakan misi 1Malaysia Kelilingi Dunia (1RTW) selama 50 hari.

KUALA LUMPUR 19 April - Juruterbang muda negara, Kapten James Anthony Tan, 22, berjaya menamatkan hampir separuh misi solo mengelilingi dunia dalam usaha mencipta rekod baharu selepas selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Menurut Sekretariat 1Malaysia Kelilingi Dunia (1RTW), ketibaan James di Denver kira-kira pukul 1.30 petang pada hari ke-22 dalam misi itu melibatkan penerbangan keseluruhan sejauh 8,796 batu nautika (16,290 kilometer).

"Setakat ini, James telah mendarat di 11 hentian termasuk Thailand, Vietnam, Taiwan, Jepun, Rusia, Kanada serta Alaska, AS.
"James yang memulakan penerbangan pada 28 Mac lalu dijangka kembali ke tanah air sekali gus menamatkan misi 1RTW pada 12 Mei ini di Terminal Subang Skypark," demikian menurut sekretariat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

James bakal mengukir sejarah tersendiri selepas memulakan ekspedisi solo mengelilingi dunia selama 50 hari dengan melawati 20 negara serta hampir 30 hentian menggunakan pesawat piston tunggal, Cessna P210.
Kejayaan misi 1RTW sejauh 21,600 batu nautika (40,000 kilometer) itu membolehkan James mencipta nama dalam World Guinness Book of Records sekali gus mendahului rekod semasa juruterbang termuda mengelilingi dunia yang dipegang warga Sweden, Kapten Carlo Schmid yang melakukannya pada usia 22 tahun.
Dalam perkembangan sama, Sekretariat 1RTW menjelaskan, James akan meneruskan penerbangan ke destinasi berikutnya iaitu Indianapolis, AS pada pukul 10 malam ini.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang berminat mendapatkan perkembangan terkini dan menyaksikan perbualan secara lintas langsung bersama James boleh melayari laman web www.1rtw.com.my atau Facebook di www.facebook/1RTW.2013 dan Twitter @1rtw.

Misi 1RTW itu dianjurkan Persatuan Juruterbang Muda Malaysia dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) menerusi tajaan Yayasan Felda dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Comments

Popular Posts