Perang kontrak pesawat tempur




KUALA LUMPUR 29 Mac - Dalam keghairahan orang ramai melihat pertunjukan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013, tanpa disedari berlaku ‘peperangan sengit’ di belakang tadbir melibatkan syarikat pengeluar pesawat tempur.

Peperangan yang dimaksudkan adalah pertarungan sengit untuk memenangi kontrak penggantian pesawat pejuang MiG29 yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika ini.
Antara pesawat yang kini sedang menunjukkan keupayaannya unik mereka di LIMA 2013, sekali gus cuba memikat hati TUDM adalah Sukhoi SU-35 (Russia), Dassault Aviation Rafale (Perancis), Eurofighter Typhoon (Britain), FA-18F Super Hornet (AS) dan JAS Gripen (Sweden).

Daripada lima buah pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) berkenaan, Dassault Aviation Rafale, Eurofighter Typhoon dan FA-18F Hornet dilihat begitu menonjol dalam usaha melobi kontrak berkenaan.
Typhoon merupakan pesawat terbaik dengan mempunyai kelajuan 2 Mach, merangkumi kemampuan sistem teknikal dan persenjataannya yang canggih tetapi harganya yang boleh mencecah RM3 bilion sebuah telah membuatkan kerajaan mungkin perlu menimbangkan pilihan lain.

Manakala Rafale yang merupakan pesaing terdekat Typhoon menawarkan kelebihan dari segi harga yang lebih murah. Baru-baru ini, kerajaan India sedang menimbang untuk pembelian 126 pesawat itu dengan nilai AS$10 bilion atau bersamaan RM30 bilion.

Sementara itu, pilihan ketiga iaitu FA-18F pula mempunyai syarat yang terlalu ketat, terutamanya dari segi teknologi dan kod sumber (source code) yang tidak mudah untuk dipindahkan kepada pembeli pesawat.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan untuk melupuskan 16 pesawat MIG 29N yang dibeli dari Rusia pada 1995 pada kos AS$381 juta dengan menjualnya kepada negara yang berminat.
Keputusan berkenaan dibuat berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi dan jika dilupuskan kerajaan akan jimat sebanyak RM260 juta setahun.

Kontrak berkenaan bukan hanya tertakluk kepada urusan jual beli semata-mata, tetapi kerajaan juga ingin melihat kepada tawaran timbal balik yang boleh diberikan oleh syarikat pengeluar berkenaan seperti pemindahan teknologi.

Ini bermakna tawaran mereka bukan hanya fokus kepada teknologi dan harga yang kompetitif tetapi pulangannya kepada keseluruhan industri pertahanan negara.
Pemilihan pesawat baharu menggantikan MIG 29N perlu memberi keutamaan kepada pesawat strategik yang berupaya melakukan penerbangan jarak jauh dan pesawat medium seperti MRCA.


Comments

Popular Posts