PRU-13: MAS perkenal tambang istimewa
KUALA LUMPUR 17 April - Malaysia Airlines (MAS) memperkenalkan harga tambang istimewa sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bertujuan menggalakkan orang ramai mengundi di kampung masing-masing.
Selain itu, syarikat penerbangan tersebut juga membenarkan penumpang yang telah menempah tiket untuk tempoh perjalanan dari 27 April hingga 12 Mei tetapi ingin mengubah tarikh perjalanan bagi tujuan mengundi, menunda tarikh tiket tersebut sehingga 31 Julai ini tanpa dikenakan caj tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari Yahya berkata, melalui tambang istimewa tersebut, penumpang MAS boleh mendapat tiket dua hala dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Pulau Pinang, Terengganu, Kuantan, Kota Bharu, Johor Bahru dan Langkawi dengan harga inklusif serendah RM130 untuk kelas ekonomi dan RM713 untuk kelas perniagaan.
Beliau berkata, penduduk sekitar Kuala Lumpur yang mahu balik mengundi di Kota Kinabalu, Labuan, Tawau, Miri, Sibu, Sandakan, Bintulu dan Kuching pula boleh membeli tiket dua hala dengan harga serendah RM300 untuk kelas ekonomi dan RM1,713 untuk kelas perniagaan.
"Rakyat Malaysia juga boleh berulang-alik antara Kuching dengan Kota Kinabalu, Miri, Bintulu dan Sibu dengan harga inklusif serendah RM76 untuk kelas ekonomi dan RM1,513 untuk kelas perniagaan.
"Tiket dari Kota Kinabalu ke Tawau, Labuan dan Sandakan pula dijual dengan harga serendah RM136 untuk kelas ekonomi dan RM1,713 untuk kelas perniagaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Ahmad Jauhari berkata, MAS merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang membenarkan penumpang mengubah tarikh perjalanan untuk tujuan mengundi.
Tambahnya, penumpang MAS juga menikmati beberapa kelebihan seperti membawa bagasi kabin sehingga tujuh kilogram (kg) untuk kelas ekonomi manakala penumpang kelas perniagaan dibenarkan membawa masuk dua beg ke dalam kabin pesawat. - UTUSAN ONLINE
Comments