mangga add

Thursday, November 24, 2011

APMM turut sertai LIMA 2011

23/11/2011 2:44pm
LANGKAWI 23 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjadikan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 di sini mulai 6 hingga 10 Disember depan sebagai ruang untuk orang ramai mengetahui mengenai agensi penguatkuasaan berkenaan yang mula beroperasi sejak November 2005.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Amdan Kurish berkata, APMM akan menyertai LIMA 2011 secara besar-besaran dan orang ramai boleh mengetahui fungsi dan kejayaan APMM menerusi pameran sepanjang LIMA berlangsung.

"Empat buah bot pemintas, dua daripadanya buatan Turki dan dua lagi buatan tempatan yang mempunyai kelajuan 65 knot merupakan antara yang akan dipamerkan.
"Selain itu beberapa pesawat termasuk Helikopter AW 139 dan kapal-kapal milik APMM akan turut mengambil bahagian,” katanya pada sidang media sempena majlis serah dan terima tugas Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara di Pangkalan APMM di sini hari ini.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Muhammad Abdul Basar Taji akan bertukar ke Putrajaya manakala tempatnya diganti oleh Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee yang sebelum ini berkhidmat di Lumut.

Amdan berkata, seramai 300 hingga 400 pegawai dan anggota APMM akan terlibat pada keseluruhan penyertaan dalam LIMA kali ini.

Katanya, APMM akan menyertai pameran dan pertunjukan kecekapan para pegawai dan anggotanya menghadapi sebarang kemungkinan di udara dan laut.
Setakat ini lebih 400 syarikat dari 35 negara mengesahkan menyertai LIMA 2011.
Mengenai APMM Wilayah Utara, beliau berkata Ketua Penguatkuasaan Wilayah Utara mempunyai tugas yang berat kerana berada di pintu utama Malaysia dengan Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, ini adalah antara cabaran untuk membendung kemasukan pendatang tanpa inzin kerana perairan wilayah utara ini sangat luas.

Amdan berkata usaha perlu dipertingkatkan untuk membendung kegiatan penyeludupan manusia, barang dan dadah yang perlu dibanteraskan agar ekonomi negara tidak tergugat. - Bernama

No comments: