Berjaya Air sambung khidmat

PULAU PANGKOR 17 Nov. - Berjaya Air Sdn. Bhd. mengumumkan penyambungan perkhidmatan udara ke Pulau Pangkor, dengan tiga penerbangan seminggu menerusi Lapangan Terbang Subang, mulai 25 November.

Pengarahnya, Datuk Azlan Meah Ahmad Meah berkata, syarikat itu komited memulihkan semula penerbangan ke Pulau Pangkor selepas 18 bulan tertangguh ekoran impak krisis ekonomi global 2009.

"Kami mendapati tenaga dan kepakaran perlu digerakkan untuk menyumbang terhadap pembangunan kemudahan pelancongan di Pulau Pangkor," katanya kepada pemberita selepas majlis pengaktifan semula perkhidmatan penerbangan berjadual, di sini hari ini.

Azlan Meah berkata, Berjaya Air kini menawarkan perkhidmatan udara ke pulau peranginan itu menggunakan tiga unit pesawat Dash 49 tempat duduk dan dua buah pesawat ATR72-500 dengan 72 tempat duduk, khusus untuk landasan pendek.

Beliau berkata, syarikat itu menambah Pulau Langkawi dalam senarai destinasinya, dengan operasi bermula secara rasmi esok, dengan kekerapan empat penerbangan seminggu.

"Syarikat merancang meluaskan perkhidmatannya ke Thailand dan Indonesia.

"Kami sedang mengenal pasti laluan baharu, mungkin meliputi Thailand dan Indonesia, namun ia masih di peringkat perancangan. Kami tidak dapat pastikan apa-apa pada masa ini.

"Kami juga bukan penggiat besar dalam industri ini, namun boleh berkembang.

Ia hanya menunggu masa yang tepat dan permintaan," katanya.

Berjaya Air yang berpangkalan di Sky Park Terminal, Lapangan Terbang Subang, juga menawarkan penerbangan dari Subang ke Pulau Redang, Pulau Tioman dan Koh Samui di Thailand.

Ia juga menyediakan penerbangan terus dari Singapura ke Tioman dan Redang.

Selain perkhidmatan penerbangan, Berjaya Air bekerja rapat dengan hotel dan pusat peranginan bagi menawarkan pakej-pakej percutian menarik. — Bernama

Comments