Terminal sibuk jadi punca

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kesesakan yang terlalu tinggi, khususnya di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), menyukarkan tugas agensi penguat kuasa untuk memantau aktiviti penyeludupan dadah yang dikatakan semakin kerap berlaku, sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Mohamed Khalid Yusof berkata, kesesakan itu diambil kesempatan oleh sindiket penyeludupan dadah untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Bagaimanapun katanya, kesesakan itu bukan hanya berlaku di LCCT sahaja. Statistik kes rampasan dadah yang diperolehi sejak awal tahun menunjukkan 18 kes rampasan dadah diperolehi di KLIA, LCCT (6), pusat mel dan kurier udara (6) dan empat kes di kargo udara.

Beliau berkata, selain 35 kes rampasan dadah di sekitar kawasan LCCT dan KLIA, enam kes penyeludupan dadah turut dikesan JKDM KLIA di luar kawasan berkenaan.

"Pegawai JKDM sentiasa diingatkan supaya tidak leka malah memandang serius isu penyeludupan dadah dan sentiasa memperhalusi serta menambah baik setiap pelan, susun atur balai ketibaan supaya penyeludup tidak mudah bolos.

"Kastam juga telah dan sedang melaksana beberapa strategi berkesan termasuk pengurusan risiko serta sistem risikan atau dikenali sebagai Rover System yang beroperasi di sekitar kawasan lapangan terbang.

"Kerjasama yang erat dan perkongsian maklumat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjalan baik dalam menangani isu ini amat dihargai. Ia jelas terbukti daripada nilai rampasan tahun ini dicatatkan sehingga jumlahnya hampir empat kali ganda berbanding tahun lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Khalid diminta mengulas pendapat Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali semalam yang hairan mengapa tidak banyak tangkapan sindiket dadah dilaporkan di LCCT berbanding KLIA.

Ibrahim ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan turut mencadangkan kerajaan meningkatkan kawalan pemantauan dan keselamatan di pintu masuk LCCT.

Ini kata Ibrahim kerana terminal itu sangat sibuk dengan penumpang sehingga memungkinkan penyeludupan syabu atau dadah sukar dikesan.

Mohamed Khalid dalam pada itu berkata, tidak menafikan kesesakan di terminal menyukar tugas penguat kuasa agensi itu.

Sementara itu, beliau memberitahu nilai rampasan dadah sejak awal tahun hingga November mencatat RM152.5 juta iaitu empat kali ganda nilai rampasan berbanding RM44.4 juta tahun sebelumnya.

"Kita perlu lihat juga pada kuantiti dan nilai rampasan yang tinggi serta bukannya daripada bilangan kes yang diperolehi sahaja.

"Contohnya, walaupun jumlah kes tahun ini hanya 67 kes sahaja tetapi kuantiti dan nilai rampasan lebih tinggi berbanding 74 kes rampasan dadah tahun sebelumnya," katanya.

Mohamed Khalid berkata, di samping itu, daripada jumlah 67 kes rampasan tahun ini, sebanyak 47 kes yang diperolehi melalui inisiatif dan risikan pegawai JKDM manakala bakinya diperolehi daripada orang awam.

"Ini membuktikan strategi pengurusan risiko lebih berkesan daripada tahun-tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan kurang kebergantungan kepada orang awam.

"Walaupun demikian, JKDM sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk bersama-sama memerangi isu ini," katanya.

Comments