Melaka Air buka laluan ke P. Pinang, Kota Bharu

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Syarikat penerbangan Melaka Air dengan kerjasama Firefly akan memulakan penerbangan domestik dari Melaka ke Pulau Pinang dan Kota Baharu, Kelantan bermula hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pembukaan laluan penerbangan itu merupakan usaha kementerian dan kerajaan negeri Melaka merancakkan penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka Batu Berendam (LTAM).
“Laluan domestik baru itu juga sebahagian daripada langkah kerajaan memudahkan kemasukan pelancong dari Pulau Pinang dan negeri Pantai Timur.
“LTAM juga memberi diskaun caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM26 bagi penumpang antarabangsa,” katanya menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Melaka telah dimasukkan sebagai salah satu destinasi di bawah perjanjian antarabangsa yang membolehkan syarikat penerbangan di antara negara-negara ASEAN terbang tanpa had kekerapan, kapasiti dan jenis pesawat.
Beliau memberitahu, LTAM pada masa ini turut mempunyai satu laluan penerbangan antarabangsa iaitu dari Pekanbaru, Indonesia yang dikendali oleh syarikat penerbangan Wings Air.

“Wings Air telah memulakan perkhidmatan ke Melaka sejak 7 September 2010 dengan kekerapan operasi tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad menggunakan pesawat ATR72,” katanya.

Menurut beliau, sehingga Disember tahun lalu pergerakan penumpang yang menggunakan LTAM direkodkan sebanyak 21,687 orang.

Comments