Siasatan terhadap MAS, AirAsia bermula

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Saksi-saksi Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia memberitahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa pertukaran saham antara dua syarikat penerbangan itu adalah strategi jangka panjang.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid kepada pemberita selepas beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu yang berlangsung selama dua jam bagi menyiasat kontroversi CCF MAS-AirAsia di bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Azmi, saksi-saksi terbabit juga menjelaskan mengenai objektif pertukaran saham tersebut dibuat iaitu bagi membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan negara itu menghadapi cabaran masa depan dalam industri penerbangan antarabangsa.

"Mereka juga memberi penerangan mengenai industri penerbangan antarabangsa iaitu banyak syarikat penerbangan menghadapi masalah. PAC diberitahu bahawa ini (pertukaran saham) merupakan strategi jangka panjang untuk tangani masalah ini," katanya.

Pada mesyuarat tersebut, antara saksi-saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool.

Turut memberi penjelasan ialah Ketua Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya berkemungkinan akan memanggil semua agensi-agensi berkaitan sekali lagi, termasuk AirAsia untuk mendapat keterangan lanjut.

Comments