mangga add

Sunday, November 20, 2011

Bumbung rosak helikopter terbang rendah

KUANTAN 19 Nov. - Bumbung beberapa buah kedai di Jalan Bukit Ubi di sini rosak diterbangkan angin, berpunca daripada sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri yang terbang rendah di kawasan tersebut, hari ini.

Turut rosak papan-papan tanda selain lima buah motosikal di hadapan premis itu yang terbalik.

Kejadian berlaku pukul 1 petang itu turut menggemparkan kira-kira 15 pelanggan dan peniaga yang menyaksikan pesawat tersebut terbang rendah dan seolah-olah mahu terhempas.

Pesawat itu kemudian melakukan pendaratan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini yang terletak berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi di sini.

Pemilik kedai alat ganti motosikal, Ta Kuan Yew, 40, berkata, semasa kejadian, dia melayan pelanggan di kedainya sebelum terdengar bunyi deruman dan angin kuat dari atas bumbung premisnya.

"Panik dengan bunyi deruman dan tiupan angin kuat itu, pelanggan saya bertempiaran lari masuk ke dalam kedai.

"Pada masa sama, lima motosikal yang diletakkan di depan kedai saya terbalik dan dahan pokok turut patah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pemilik kedai peralatan menjual alatan sembahyang, Ng Ah Noi, 50, berkata, dia melihat pekerjanya berlari masuk ke dalam kedai dan terdengar bunyi objek diterbangkan dari atas bumbung premisnya.

"Papan tanda perniagaan yang dipasang di kedai terjatuh kerana tempias angin kuat pesawat itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong berkata, pihaknya menerima lima aduan kerosakan premis perniagaan ekoran kejadian tersebut.

"Saya sudah maklumkan perkara itu kepada pihak Bomba dan mereka bersedia membayar ganti rugi kepada peniaga terbabit. Mereka akan melakukan siasatan sebelum tindakan diambil," katanya lagi.

No comments: