Batal tubuh syarikat baru bukan isu besar
KUALA LUMPUR 4 April - Pemansuhan rancangan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) mewujudkan syarikat penerbangan jarak dekat bukan satu isu besar berbanding keutamaan yang perlu diberikan dalam isu pertukaran saham antara syarikat penerbangan negara itu dengan AirAsia Bhd. (AirAsia).
Presiden Kesatuan Sekerja MAS (MASEU), Alias Aziz berkata, pihaknya cukup yakin dan begitu percaya sekiranya isu pertukaran saham dapat dimansuhkan, krisis yang melanda MAS dapat ditangani dengan lebih baik.
''Tiada maknanya hendak wujudkan penerbangan jarak dekat atau jarak jauh kerana MAS dalam keadaan krisis, kita rugi besar.
''Penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang perlu difikirkan segera. Sepatutnya dalam keadaan krisis, apa yang perlu dilakukan adalah memperbaiki mana-mana masalah.
''Kami selaku pekerja-pekerja MAS turut tertanya-tanya setakat mana kedudukan pelan pemulihan syarikat pada hari ini?,'' katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan sebab utama pemansuhan tersebut kerana mendapat bantahan kuat di kalangan para pekerja MAS.
Bantahan itu berlaku kerana ia membabitkan pemberhentian pekerja kabin dalam MAS bagi membolehkan mereka menyertai penerbangan baharu.
Alias berkata, sehingga ke hari ini kakitangan MAS bersatu suara mahu pertukaran saham antara syarikat berkenaan dan AirAsia ditarik semula.
''Ia kerana sampai sekarang tiada satu pun perjanjian yang dibuat antara kedua-dua belah pihak," katanya.
Comments