Operasi premium jarak jauh, jarak dekat MAS guna 'jenama' berbeza

KUALA LUMPUR 5 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) kini memfokuskan kepada operasi premium jarak jauh (long haul) dan jarak dekat (short haul) dengan menggunakan 'jenama' yang berbeza.

Menurut Perdana Menteri, operasi asal MAS dikekalkan untuk operasi jarak jauh manakala perkhidmatan 'turbo-pro' Firefly dan operasi pesawat serantau akan dikendalikan oleh entiti baru untuk penerbangan jarak dekat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa memandangkan penjenamaan semula perkhidmatan MAS masih dalam peringkat permulaan, adalah masih terlalu awal untuk menentukan jumlah kos keseluruhan yang terlibat pada masa ini.

"Melalui rebranding (penjenamaan semula) itu, operasi jarak dekat akan menggunakan pesawat yang lebih kecil seperti Boeing 737-800.

"Ini bagi membolehkan MAS menyediakan jaringan perkhidmatan premium serantau yang lebih luas dengan frekuensi lebih tinggi untuk meningkatkan kecekapan kos dan operasi," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang ingin tahu mengenai kos untuk penjenamaan semula MAS sebagai penerbangan jarak jauh dan dekat selepas menandatangani perjanjian penukaran saham MAS-AirAsia serta Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF).

Ujar Najib, selain itu, MAS juga akan memperkenalkan imej baru bagi pesawat A380 yang dijangka memulakan perkhidmatan mulai Julai tahun ini.

"Dengan ini, MAS akan terus berusaha untuk meningkatkan trafik penumpang melalui strategi pemasaran yang berterusan bagi memulihkan prestasi sedia ada," katanya

Comments

Popular Posts