Pesawat Rusia terhempas, 32 terkorban

MOSCOW 2 April – Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh, manakala 11 lagi terselamat selepas sebuah pesawat Rusia terhempas di Siberia, awal pagi ini.

Agensi berita Rusia, Itar-Tass yang memetik kenyataan jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan, Irina Andrianova melaporkan, pesawat enjin berkembar ATR 72 itu yang membawa 43 penumpang, termasuk empat krew, terhempas kira-kira 35 kilometer dari bandar Tyumen di barat Siberia.

Kejadian itu berlaku selepas pesawat milik syarikat penerbangan UTair terbabit hilang daripada radar pada kira-kira pukul 5.35 pagi (9.35 pagi waktu Malaysia) sebaik-baik berlepas dari lapangan terbang Tyumen dalam penerbangan ke Surgut, sebuah pekan terletak di utara Siberia.

Katanya, mangsa yang terselamat dibawa ke hospital menggunakan helikopter.

Punca kejadian masih disiasat.

Sebelum itu, agensi berita RIA melaporkan sekurang-kurangnya lima mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke hospital di Tyumen, kira-kira 1,720 kilometer ke timur Moscow.

Berdasarkan maklumat dalam laman web UTair, syarikat itu mempunyai tiga buah pesawat ATR-72 buatan syarikat usahasama Perancis-Itali, ATR.

UTair turut mengeluarkan senarai nama penumpang dan krew penerbangan, namun tiada pelancong asing yang menaiki penerbangan tersebut.

Comments

Popular Posts