Masalah enjin: Pesawat MAS berpatah balik ke KLIA

KUALA LUMPUR 17 April – Sebuah pesawat milik Malaysian Airline (MAS) yang berlepas ke London terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas mengalami masalah teknikal di bahagian enjin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MAS, kapten pesawat Boeing 747-400 itu terpaksa berpatah balik bagi memastikan keselamatan seramai 351 penumpang dan 21 krew penerbangan.

“Pesawat berkenaan terpaksa berpatah balik dan mendarat di KLIA pada pukul 2.05 pagi ini selepas mendapati berlaku masalah teknikal pada satu enjinnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, tiga atlet menembak kebangsaan melalui pengalaman mencemaskan apabila turut berada di dalam pesawat berkenaan.

Mereka ialah Nur Suryani Mohd. Taibi, Nur Ayuni Abd. Halim dan Muslifah Zulkifli dalam perjalanan untuk menyertai tiga kejohanan di Eropah iaitu Piala Dunia 2012 di London (16 hingga 19 April), Piala Dunia Milan (14-21 Mei) dan Piala Dunia Munich (22-29 Mei).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong memberitahu, kesemua atlet yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

Beliau dimaklumkan bahawa enjin di sebelah sayap kiri pesawat telah terbakar dan memaksa pesawat itu berpatah balik ke KLIA sebelum kesemua penumpang menaiki pesawat gantian pagi ini.

Comments

Popular Posts