Malindo Air terima pesawat B737-900ER kelima, keenam
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Malindo Air, syarikat penerbangan hibrid Malaysia, hari ini menerima pesawat Boeing 737-900ER kelima dan keenamnya, menjadikan sembilan pesawat dalam kumpulannya yang termasuk tiga ATR72-600.
Pesawat baharu itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang ini selepas meninggalkan fasiliti pengeluarnya, Boeing, di Seattle, Amerika Syarikat pada Ahad.
Pesawat baharu itu adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan Malindo Air untuk mengendalikan pesawat baharu dan menjangka ketibaan pesawat baharu hingga 2015 sejajar dengan permintaan pasaran penerbangan semasa.
"Ini adalah satu perkembangan penting untuk Malindo Air. Kita telah melihat pertumbuhan dalam industri penerbangan sepanjang beberapa tahun lepas, didorong oleh peningkatan keyakinan dan perbelanjaan pelanggan," kata ketua pegawai eksekutif Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan.
Setakat ini, Malindo Air telah menerima enam Boeing 737-900ER semenjak pelancaran rasmi syarikat itu pada 22 Mac, 2013.
Comments