Tayar pecah, pesawat MAS tangguh penerbangan

KUCHING 25 Sept. - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 144 orang penumpang terpaksa membatalkan penerbangan berikutan salah satu daripada empat tayarnya pecah ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Pengurus Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Kuching, Sunis Naiman berkata, kesemua penumpang dan anak kapal itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan akibat insiden tersebut.

Beliau berkata, kejadian itu juga tidak menjejaskan operasi penerbangan lain di lapangan terbang berkenaan.
"Juruterbang pesawat itu cuba memberhentikan pelepasan selepas mendapati lampu amaran menyala ketika hendak menerbangkan pesawat MH 2266 kira-kira pukul 10.10 pagi ini.

"Usaha juruterbang itu berjaya menghentikan pesawat tersebut dan kesemua penumpang dikeluarkan dari pesawat oleh petugas bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini

Comments