MASwings lebar sayap ke luar negara



Ignatius Ong (tengah, kiri) bersAMA Mohd. Nawawi Awang bergambar bersama kakitangan MASwings dan Firefly di Subang, semalam.



SUBANG 30 Ogos - Syarikat penerbangan komuniti, MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), merancang untuk melebarkan operasi perniagaan dengan memperkenalkan penerbangan ke Davao, Filipina dan Manado, Sulawesi di Indonesia tahun depan.

Terdahulu, MASwings akan memperkenalkan penerbangan sulung ke Puerto Princessa di Pulau Palawan, Filipina pada 28 Oktober depan.

Malah, syarikat penerbangan itu telah pun memperkenalkan penerbangan ke Zamboanga City juga di selatan Filipina pada Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Mohd. Nawawi Awang berkata, bagi kedua-dua destinasi baharu itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama sinergi dengan syarikat induk, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS).
Katanya, perancangan untuk ke Davao sudah lama, namun tertangguh berikutan serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

"Kami mahu meluaskan sayap perniagaan sehingga ke selatan Filipina dan Sulawesi setelah berjaya mengukuhkan kedudukan secara domestik di Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Integrasi Krew Kabin MASwings dan Firefly di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Sdn. Bhd. (Firefly), Ignatius Ong.
Program integrasi itu mengambil masa selama dua minggu bermula hari ini.

Program pertukaran krew kabin itu merupakan inisiatif kedua-dua buah syarikat penerbangan bagi memperkenalkan krew kabin syarikat masing-masing selain mempromosi Malaysia.
Seramai 20 krew kabin daripada kedua- dua pihak terlibat dalam program tersebut.

Tambah Mohd. Nawawi, pihaknya telah mengendalikan 1.54 juta penumpang pada tahun lalu, meningkat 10 peratus berbanding tahun 2011.

Pada tahun ini pula, MASwings menyasarkan untuk mengendalikan dua juta penumpang melalui pelancaran beberapa destinasi-destinasi baharu.
"Kami kini mempunyai 11 buah pesawat yang mampu menampung keperluan komuniti di Malaysia dan juga di selatan Filipina dan Sulawesi," ujarnya.

Ong pula berkata, pada tahun lalu, FlyFirefly mencatatkan bilangan penumpang seramai 1.6 juta hingga 1.7 juta orang.
Katanya, pada tahun ini pula, pihaknya menjangka berlaku peningkatan penumpang sebanyak 15 peratus



Comments