Pesawat Thai Airways terbabas, 14 cedera

Pesawat Thai Airways tergelincir di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, semalam. -AFP


BANGKOK 9 Sept. - Sebanyak 14 penumpang cedera apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Thailand tergelincir dari landasan, selepas tayar depan pesawat itu mengalami kerosakan semasa mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di sini semalam.

Pesawat Airbus 330-300 milik Thai Airways membawa seramai 287 penumpang dan 14 krew dan baru tiba dari Guangzhou, China tergelincir ketika mendarat apabila tayar depannya mengalami keroskan.
Kesemua penumpang dibawa keluar menggunakan laluan kecemasan sebaik-baik sahaja kapal terbang itu berhenti dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Presiden Thai Airways, Sorajak Kasemsuvan dalam kenyataannya berkata, ketika pesawat Airbus 330-300 itu mendarat, alat pendaratan (tayar depan) mengalami kerosakan menyebabkan pesawat itu terbabas dari landasan.

"Namun, kapten pesawat itu berjaya mengawal pesawat itu dengan baik sehingga ia berhenti, dan penumpang kemudian dikeluarkan melalui pintu kecemasan.
"Siasatan awal mendapati percikan api dikesan di bahagian kanan tayar depan berdekatan enjin.
''Namun, punca sebenar kejadian masih disiasat," katanya.

Selepas insiden berkenaan, pekerja menggunakan kren untuk menutup logo di pesawat itu sebagai usaha melindungi imej syarikat penerbangan terbabit.

Gambar kemalangan berkenaan menunjukkan kesan pesawat tergelincir hingga ke kawasan berumput dan bahagian depan pesawat mencecah ke tanah.
Kejadian semalam merupakan kali kedua membabitkan Thai Airways dalam tempoh tidak sampai dua minggu selepas sebuah pesawat Airbus A380 dilanda ribut ketika menghampiri lapangan terbang Hong Kong, menyebabkan 20 penumpang cedera. - AFP/AP





Comments

Popular Posts