Airbus pilih Mara bekal tenaga kerja mahir

PUTRAJAYA 22 Sept. - Pengeluar pesawat Eropah, Airbus memilih Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memainkan peranan utama dalam menyediakan tenaga kerja berikutan keputusan mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan utamanya bagi rantau Asia.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan tersebut dibuat berdasarkan sistem pendidikan dan pengalaman Institut Teknologi Juruterbang Malaysia (MIAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam industri penerbangan selama ini.

''Semalam saya dimaklumkan bahawa Airbus telah membuat keputusan untuk memilih Malaysia sebagai pusat perkhidmatan utama mereka bagi rantau Asia
.
''Mereka secara spesifik telah memilih Mara untuk memainkan peranan bagi menyediakan tenaga kerja yang akan terlibat dengan perkhidmatan mereka itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-10 UniKL, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su'ud.
Pada sesi ketiga itu, lebih 2,000 graduan UniKL menerima ijazah masing-masing.

UniKL antara institut pengajian tinggi yang terletak di bawah Mara dan MIAT adalah satu daripada bidang pengajian yang ditawarkan oleh UniKL.

Serentak itu, Annuar yang juga Pro-Canselor II UniKL berkata, satu delegasi pegawai kanan Mara dan UniKL akan mengadakan perbincangan dengan Airbus di Perancis berhubung perkara itu pada bulan depan.
Beliau mengharapkan perbincangan itu akan membolehkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung perkara tersebut dapat dimeteraikan dalam masa terdekat ini.

''Saya maklumkan kepada Ketua Pengarah Mara (Datuk Ibrahim Ahmad) bahawa perkara itu perlu diberikan keutamaan kerana ia merupakan penghormatan kepada Malaysia," katanya.
''Malah, saya juga yakin bahawa keputusan Airbus itu akan menjadi pemangkin kepada perancangan jangka panjang kami untuk mewujudkan satu hab pendidikan berasaskan industri penerbangan di Subang," katanya.



Comments