Ratu skuasy negara teruja naik pesawat latihan Pilatus



NICOL Ann David (empat dari kanan) disambut mesra oleh pelajar-pelajar Kolej Tentera Udara ketika membuat lawatan ke Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kepala Batas, semalam.






ALOR SETAR 18 Sept. - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David hari ini berpeluang menaiki pesawat latihan Pilatus dalam lawatannya ke Kolej Tentera Udara (KTU) di sini sebagai pegawai kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lawatan yang pertama bagi Nicol sebagai duta TUDM ini bertujuan mendekati kehidupan jurulatih dan pelatih pasukan keselamatan itu setelah dianugerahkan pangkat Mejar Kehormat pada September tahun lalu.
Ketika ditemui, pemain nombor satu dunia ini mengakui amat teruja dan menghargai pengalaman baharu menaiki pesawat tersebut yang disifatkan sebagai berbeza daripada cabaran di gelanggang skuasy.

"Saya begitu bangga dan terharu kerana terpilih untuk menaiki pesawat ini yang menjadi sebahagian daripada TUDM, saya rasa bukan semua diberi peluang ini.

"Ia satu pengalaman yang berbeza daripada cabaran di gelanggang, malah pencapaian saya sebagai atlet negara sebelum ini," katanya.

Yang hadir sama, Komandan KTU, Kolonel Sardon Hassan.
Dalam penerbangan kira-kira setengah jam itu, Nicol menaiki pesawat yang dikemudikan oleh Mejar Khairol Muzambi Salehin bagi menikmati pemandangan udara di sekitar Alor Setar.

Pada lawatan sama, selain meninjau kehidupan warga KTU, Nicol turut memberikan ceramah motivasi selama 30 minit kepada kira-kira 350 warga di pusat latihan tersebut.
Kata Nicol yang merangkul kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB untuk kali kelapan minggu lalu, sebagai duta TUDM, beliau berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pasukan keselamatan itu pada masa depan.

"Siapa tahu pada masa depan saya berpeluang untuk belajar mengemudikan pesawat TUDM pula," katanya yang melahirkan hasrat untuk memiliki lesen terbang satu hari nanti.

Menyentuh tentang sukan tersebut, kata Nicol, beliau akan kembali ke Amsterdam, Belanda hujung minggu ini bagi meneruskan latihan untuk menghadapi perlawanan terbaharu di Amerika Syarikat bulan depan.
Selain itu pada sidang akhbar yang sama, Nicol turut melahirkan keinginan untuk menubuhkan Akademi Skuasy dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai usaha membantu membangunkan sukan skuasy negara.
"Saya berhasrat untuk menubuhkan akademi tidak lama lagi dan terlibat dalam pembangunan sukan di Malaysia. Ini adalah satu daripada keinginan saya untuk menyumbang kepada negara yang banyak berjasa kepada saya selama ini," katanya.



Comments

Popular Posts