MAS catat peningkatan EBITDA 36%





KUALA LUMPUR 18 Feb. - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) mencatatkan peningkatan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 36 peratus kepada RM254 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember berbanding RM187 juta pada tempoh sama tahun kewangan yang lalu.

MAS dalam kenyataannya memaklumkan, bagi 12 bulan berakhir 31 Disember 2013, Kumpulan turut mencatatkan pendapatan sebanyak RM15.1 bilion, peningkatan sebanyak 10 peratus daripada RM13.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Ekseutif Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata, jumlah penumpang MAS terus mencatatkan peningkatan positif sebanyak 17.2 juta penumpang, 28.5 peratus lebih tinggi berbanding 2012 dengan jumlah penumpang tertinggi direkodkan sebanyak 93.5 peratus pada 20 Disember lalu.

Tahun 2013 menyaksikan Kumpulan itu menambah sebanyak 21 buah pesawat termasuk A380, A333, B738, ATR72-600 serta Viking DHC-6 baharu, menjadikan jumlah pesawat MAS sebanyak 148 buah.
Bagaimanapun kata beliau, persaingan sengit, susut nilai yang lebih tinggi selain caj kewangan, dan penyusutan mata wang telah memberi tekanan menyebabkan Kumpulan mencatat kerugian.

Kumpulan itu merekodkan kemerosotan pendapatan bersih selepas cukai sebanyak RM1.2 bilion bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2013.
“Kami sentiasa bersedia menghadapi tahun 2013 yang lalu dan ianya merupakan tahun mencabar dengan persaingan sengit yang memberi kesan atas MAS, oleh itu kami telah menfokuskan untuk memacu pendapatan serta hasil syarikat.

“Atas usaha itu, MAS telah merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 11 peratus, manakala trafik meningkat 27 peratus dan kapasiti 17 peratus," jelasnya.

Susut nilai bagi tahun kewangan berakhir 2013 adalah RM817 juta berbanding RM548 juta pada tahun 2012 dan Kumpulan turut mencatatkan kos kewangan yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM437 juta pada tahun 2013 berbanding RM235 juta pada tahun 2012.

Jumlah perbelanjaan bagi tahun kewangan 2013 adalah RM14.9 bilion, juga meningkat 10 peratus berbanding sebanyak RM13.6 bilion pada 2012.

Comments

Popular Posts