Pesawat mendarat cemas di KLIA
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Gara-gara mengesyaki berlaku kebocoran bahan kimia dalam satu bungkusan mencurigakan, sebuah pesawat tambang murah India terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.
Hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat KLIA yang bergegas ke lokasi bersama Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), bagaimanapun mendapati bungkusan itu sebenarnya mengandungi tiga ketulan logam dipercayai emas.
Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pesawat Indigo Airlines membawa 145 penumpang termasuk enam krew itu dalam perjalanan dari Singapura ke Madras sebelum seorang daripada krew menemui bungkusan terbabit.
Mohd. Sani berkata, pesawat terbabit dilaporkan mendarat pada pukul 7.37 pagi dan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.50 pagi.
"Seramai 18 anggota serta sebuah jentera bomba KLIA dan Hazmat dihantar bagi memeriksa pesawat tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kebocoran kimia berlaku namun pasukan terbabit menemui tiga ketulan logam dalam bungkusan itu dipercayai emas yang diletakkan di dalam tandas pesawat itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Sani berkata, ketulan logam itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, polis mengesahkan tiga ketulan logam yang ditemui itu tidak berbahaya.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, unit pemusnah bom (UPB) yang dihantar ke lokasi kejadian mendapati logam berwarna kuning tersebut bukan bahan letupan atau bahan kimia.
"Tiada objek berbahaya yang ditemui dalam pesawat tersebut kecuali beberapa kepingan logam warna kuning. Pihak kami masih melakukan siasatan lanjut mengenai kejadian ini," katanya.
Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menyiasat sama ada penemuan logam tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan.
Comments