Gunung Kelud meletus, 3 lapangan terbang ditutup


JAKARTA 14 Feb. - Lapangan terbang di Surabaya, Solo dan Jogyakarta ditutup hari ini apabila Gunung Kelud di daerah Magelang, Jawa Timur mengeluarkan lahar serta menyebabkan debu berterbangan sehingga ke bandar Surabaya yang terletak sejauh 130 kilometer.

Tiga lapangan terbang itu diarah tutup oleh pihak berkuasa kerana jarak penglihatan yang kabur dan dikhuatiri debu-debu berterbangan itu boleh meyebabkan kerosakan kepada enjin pesawat.

Selain itu, kira-kira 200,000 penduduk berhampiran diarah berpindah apabila gunung berapi aktif itu turut menghujani beberapa bandar berhampiran dengan debu setebal empat sentimeter.

Jurucakap Agensi Bencana Negara, Muhammad Hendrasto berkata, arahan tersebut dikeluarkan kepada penduduk di 36 perkampungan yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari gunung tersebut, beberapa jam sebelum letusan berlaku.

Rakaman stesen televisyen menunjukkan abu dan batu menghujani perkampungan berdekatan ketika penduduk melarikan diri menggunakan kereta dan motosikal ke pusat perlindungan.
Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Gunung Berapi Kelud setinggi 1,731 meter sebelum ini pernah menyebabkan lebih 15,000 orang terbunuh sejak mula meletus pada tahun 1500, termasuk 10,000 kematian dalam letusan terbesar pada tahun 1568.

Comments

Popular Posts