Turki tumpas rampas pesawat
ISTANBUL 8 Feb. - Jet pejuang Turki memaksa sebuah pesawat penumpang mendarat di sebuah lapangan terbangnya, selepas seorang lelaki bertindak merampas pesawat itu dengan mengancam untuk meletupkan bom di dalam pesawat tersebut, semalam.
Juruterbang pesawat Pegasus Airlines Boeing 737-800 yang membawa 110 penumpang itu berjaya memberi maklumat tentang rampasan itu sebelum memasuki ruang udara Turki.
Sejurus kemudian, jet pejuang F-16 Turki dikerah memaksa pesawat itu yang berlepas dari bandar Kharkov, Ukraine supaya mendarat di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di sini.
Perampas itu yang dikenali sebagai seorang lelaki warga Ukraine berumur 45 tahun kemudian berjaya diberkas pasukan keselamatan Turki dalam satu operasi.
Sebelum itu, suspek mengarahkan juruterbang mengubah haluan penerbangan ke Sochi, venue Sukan Olimpik Musim Sejuk di Rusia.
Operasi dilancarkan pada pukul 10 malam waktu tempatan, beberapa jam selepas pesawat itu mendarat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Turki, Habib Soluk berkata, lelaki itu memegang sebuah bahan peledak dan cuba memasuki kokpit dan mendakwa ada bom di dalam pesawat itu.
Pasukan keselamatan berjaya menangkap suspek dan tidak berlaku sebarang kecederaan, katanya, sambil menambah kata, kesemua penumpang telah dipindahkan dari pesawat itu dengan selamat.
Sementara itu, Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu dalam sidang media selepas operasi itu berkata, suspek membawa sebuah beg kecil mengandungi barangan elektronik dan bukannya bom.
Sekeping gambar yang disiarkan rangkaian berita NTV menunjukkan seorang lelaki memakai baju berwarna merah, putih dan biru dipercayai suspek, berdiri berhampiran tempat duduknya di bahagian hadapan pesawat dengan krew kabin memerhatikannya.
Klip video turut menunjukkan penumpang pesawat duduk dengan tenang di dalam pesawat berkenaan sebelum pasukan keselamatan melancarkan operasi menyerbu pesawat itu
Comments