AirAsia tumpu 60% terhadap usaha perkenal laluan baharu


Aireen Omar (tiga dari kiri ), Jose Edoardo E. Malaya lll (lima dari kiri), Datin Malisa Ong (enam dari kiri ) dan Kenny Wong pada majlis pelancaran destinasi terbaru penerbangan AirAsia iaitu Kuala Lumpur ke Kalibo, Filipina di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ Halim Khalid


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia akan memberi tumpuan sebanyak 60 peratus terhadap usaha memperkenalkan laluan baharu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, baki 40 peratus lagi akan difokuskan kepada menambah frekuensi penerbangan laluan sedia ada.

Ujarnya, AirAsia sentiasa komited memberikan pilihan-pilihan baharu kepada pelanggannya bagi menikmati keselesaan ketika dalam penerbangan.

“Kami sentiasa memastikan pelanggan AirAsia dapat menikmati pengalaman hebat bersama kami," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman laluan baharu AirAsia KL-Kalibo di sini hari ini.
Dalam majlis itu, AirAsia mengumumkan laluan terbaharunya menghubungkan terus Kuala Lumpur ke Kalibo, Filipina yang akan beroperasi 18 April ini.

Menurut Aireen, AirAsia menawarkan penerbangan empat kali seminggu dan akan beroperasi pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Laluan ini juga merupakan laluan ketiga destinasi ke Filipina dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

Jelas beliau, syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti 180 tempat duduk bagi destinasi baharu berkenaan dan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penumpang menaiki penerbangan tersebut.

“Kami komited untuk menghubungkan komuniti-komuniti daripada rantau ini yang kaya dengan pantai dan pulau bertaraf dunia, dan kami sangat berbangga dapat menambah Kalibo, pintu masuk ke Pulau Boracay di Filipina ini ke dalam jaringan terluas dan destinasi-destinasi menarik yang ditawarkan AirAsia."

“AirAsia mempunyai jaringan terluas seluruh ASEAN dan Filipina adalah pasaran yang sedang membangun untuk syarikat penerbangan tambang murah dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada hal ini, terutama dengan kehadiran AirAsia Zest di Filipina menghubungkan komuniti secara domestik dengan tambang murah kami,"

Kalibo merupakan laluan utama ke destinasi percutian pantai dan terkenal dunia iaitu Pulau Boracay.
AirAsia menawarkan tempat duduk percuma dengan cukai dan surcaj yang bermula daripada serendah RM77 sehala yang boleh ditempah menerusi laman webwww.airasia.com dari 12.00 tengah hari mulai esok, 19 Februari hingga 23 Februari 2014 bagi penerbangan ke Kalibo.

Tempoh perjalanan bagi tempat-tempat duduk percuma bermula dari tarikh bermulanya penerbangan sulung pada 18 April 2014 sehingga 31 Januari 2015.

Majlis itu turut dihadiri Duta Filipina Jose Edoardo E. Malaya lll, Pengarah Jualan untuk Malaysia & Thailand dan Filipina Datin Malisa Ong dan Ketua Komersial AirAsia, Kenny Wong.

Comments

Popular Posts