AirAsia batal penerbangan ke tiga destinasi Indonesia


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mengumumkan pembatalan penerbangannya ke Surabaya, Semarang dan Yogyakarta, Indonesia ekoran letupan gunung berapi Kelud di Pulau Jawa.


AirAsia dalam kenyataannya hari ini memberitahu, penerbangan dari ketiga-tiga lapangan terbang itu ke Kuala Lumpur juga dibatalkan.

Ia berikutan jarak penglihatan yang amat terhad dan debu-debu hasil letusan gunung yang boleh mengancam keselamatan pesawat dan penumpang.

AirAsia Indonesia juga menyatakan, laluan penerbangan domestik dan antarabangsa yang melibatkan ketiga-tiga lapangan terbang itu juga dibatalkan.

Menurut AirAsia lagi, pihaknya turut menawarkan pilihan kesinambungan perkhidmatan kepada para penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan.

"Mereka juga boleh memilih deposit dalam bentuk 'Credit Shell' yang sama nilainya dengan tempahan asal dan boleh digunakan sebagai bayaran untuk menempah mana-mana penerbangan AirAsia dan ia sah untuk tempoh tiga bulan dari tarikh dikeluarkan," menurut AirAsia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Comments

Popular Posts